Friday 10 October 2014

Cabaran WAHM

Tidak dinafikan menjadi WAHM ini memang seronok, tak perlu risaukan masa untuk bangun dan bersiap dengan sesegera untuk ke pejabat dan urusan anak-anak ke taska. Apabila saya mula menjadi WAHM ini anak saya baru seorang, dan menjadi perkerja di rumah memang seronok!

Berdua dengan anak sambil melayan kerja dan kerja-kerja suri membuat saya fikir ini adalah sesuatu yang betul. Sehingga saya diuji dengan kehadiran anak kedua. Sewaktu mengandung anak kedua bersama alahan yang teruk dan cuaca jerebu yang hebat pada waktu itu membuat saya berfikir semula keputusan saya itu. Malangnya saya fikir ini ujian yang hebat buat saya, namun ujian yang maha hebat berlaku selepas lahirnya anak saya.

Seronok dengan kehadiran anak kedua saya, tetapi kami diuji dengan suami saya berganti boss baru yang lebih komited pada kerja, suami mulai pulang lewat, dan saya tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan mendadak ini.

Untuk memujuk hati saya anggap ia sebagai rezeki suami. Rezeki dalam bentuk perkerjaan. Alhamdulillah, semakin menerima perubahan masa yang kebiasaanya saya akan hanya sibuk disiang hari dan malam hari suami akan mengambil alih kerja menjaga anak kini saya tampung sehingga suami pulang malam.

Alhamdulillah anak kedua saya mudah untuk saya tidurkan, tidak seperti anak pertama saya yang sukar untuk berenggang ketika tidurkan dia. Oleh itu kerja-kerja saya dapat berjalan dengan lancar selepas anak kedua saya tidur. Perkara sebegini sukar saya dapat ketika anak pertama masih kecil.
Oh, ujian maha hebat saya datang apabila saya tiba-tiba diserang cirit-birit yang teruk, diikuti dengan kekurangan air yang cepat disebabkan saya ibu yang masih menyusu badan. Sakit saya diberitahu kepada suami, malangnya suami tidak dapat bercuti.

Saya gagahi hari itu hanya dengan solat. Ketika sakit memerut dan badan longlai hanya kebergantungan kepada Allah sahaja yang saya mampu buat ketika itu. Tiada siapa dapat tolong saya ketika itu, dan kerja saya terpaksa saya tangguhkan sehingga benar sihat. Alhamdulillah selepas sehari saya sihat dari cirit-birit. Dan sangka saya sudah sembuh sepenuhnya, malangnya selang sehari kemudian saya diserang sakit kepala yang teruk dan demam panas. Suami saya bercuti sakit hari itu kerana dia diserang sakit kepala. Bersama kami sakit dan saya sememangnya tidak mampu bergerak langsung beradu di dalam bilik sambil menuam badan yang panas dengan kain basah.

Berasa bersalah pada suami tetapi hanya mampu melihat sahaja suami menolong menjaga anak-anak dengan keadaannya yang juga sakit. Dan hujung minggu kami dihabiskan dirumah berehat.

Benarlah jika ingat ujian anda hebat maka ada lagi ujian maha hebat akan datang di suatu hari nanti. Tetapi jangan terkejut, ujian itu hanyalah untuk menyedarkan kita yang diri ini sebenarnya lebih kuat dari kita sangkakan. Selepas itu saya sedar saya lebih kuat walaupun badan tidak mengizinkan.

No comments:

Post a Comment